Culinary Lover

Memasak dari hati, memasak dengan iman.

TIP MENGUJI KESEGARAN TELUR

Saya percaya bahawa setiap rumah ada menyimpan telur ayam sebagai salah satu bahan mentah yang perlu sentiasa ada di dapur. Mengapa? Hal ini kerana telur adalah bahan yang paling mudah dimasak di waktu kecemasan atau kemalasan.  Antara menu ringkas yang terhasil dengan menggunakan telur ialah telur goreng, telur rebus, dan sup telur.  Telur juga adalah antara bahan asas untuk membuat kek dan roti (kecuali bagi resepi yang tidak menggunakan telur).

Pernahkah anda menjumpai telur yang rosak di saat mahu memasukkannya ke dalam masakan? Sangat menghampakan apabila mendapati telur yang dipecahkan terus ke dalam masakan keadaannya seperti sudah rosak. Pasti ia mengubah rasa masakan dan merosakkan masakan sehingga kadang-kadang terpaksa dibuang.

Berikut adalah tips mudah untuk mengenalpasti tahap kesegaran telur:
  1. Sediakan semangkuk atau segelas air biasa (air paip pun boleh). 
  2. Pastikan paras air sekurang-kurangnya dua kali lebih tinggi dari telur.
  3. Masukkan telur pilihan anda ke dalam mangkuk tadi.
  4. Jika telur itu tenggelam, ianya masih segar.  Tetapi, jika telur tersebut terapung, biasanya ia sudah tidak segar lagi.



Mengapa Telur Akan Terapung Jika Sudah Tidak Segar?
Kulit telur mempunyai liang halus yang membolehkan udara menembusinya. Semakin lama usia telur, semakin banyak udara yang diisi ke dalam telur tersebut. Ini menjadikan telur cukup ringan untuk terapung. Jika diperhatikan, telur segar lebih berat berbanding telur yang lama.

Panduan tambahan:
  1. Telur-telur elok yang telah diuji dengan kaedah ini hendaklah dimasak terus bagi mengelakkan telur dirosakkan oleh bakteria dalam air yang menembusi kulit telur.
  2. Kulit telur segar yang telah direbus, lebih susah ditanggalkan berbanding telur yang sudah tidak segar.
  3. Ketika mahu membeli telur di kedai, cuba pusingkan telur di atas papan telur. Sekiranya telur tidak bergerak dan melekat, biasanya ia sudah tidak elok.

Tahukah anda?
Telur digredkan mengikut beratnya, misalnya gred A=60 gram, manakala gred B=50 gram, gred C=40 gram.


0 comments:

Post a Comment